Ahad, 2 November 2008

UTUSAN MALAYSIA ( 2 NOVEMBER 2008)

UMNO BOLEH RUNTUH JIKA DIKUASAI KONTRAKTOR

SHAH ALAM 1 Nov. – UMNO berhasrat menggalakkan pembabitan lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dalam kegiatannya sebagai salah satu langkah memulihara serta memperkuatkan parti itu pada masa depan.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, langkah tersebut dibuat kerana keahlian UMNO kini lihat dikuasai ramai golongan kontraktor yang boleh menjejaskan keutuhan parti jika tidak ditangani segera.

Katanya, keadaan sedemikian amat jauh berbeza dengan zaman dahulu di mana UMNO dibentuk oleh gabungan daripada pertubuhan- pertubuhan Melayu dengan matlamat yang sama iaitu menjaga kepentingan bangsa.

“Mungkin keadaan dulu dan sekarang lain. Namun, kita khuatir jika lebih banyak penguasaan golongan kontraktor dalam UMNO kemungkinan akan berlaku pengaliran keluar sokongan terhadap parti ini.

“Jika dahulu, sokongan UMNO begitu kuat sehinggakan seorang guru biasa boleh dilantik untuk menerajui parti sama ada di peringkat bahagian atau pun cawangan, imam pun tidak terkecuali, tetapi sekarang tidak lagi begitu.

“Kalau kita biarkan keadaan ini berterusan, kemungkinan UMNO tidak akan dapat sokongan termasuklah matlamat perjuangan kepentingan bangsa mungkin tidak sampai” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Kelapan Persatuan Bekas Pengawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia Cawangan Selangor di sini hari ini.

Muhammad yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah turut memberikan contoh keadaan politik serta bangsa Jepun ketika zaman pemerintahan Meiji.

Beliau berkata, sebelum kebangkitan Meiji, keadaan di negara Jepun tidak stabil di mana kehidupan rakyat berada dalam kucar kacir ekoran pemberontakan yang berlaku.