Isnin, 27 Julai 2009

Dua Exco Selangor buat laporan polis (Sinar Harian)


SHAH ALAM – Dua Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah dan Ronnie Liu serta pembantu khasnya, Wong Chuan How membuat dua laporan polis berhubung maklumat palsu dan tuduhan tidak berasas yang disiarkan oleh sebuah laman blog ke atas mereka di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Shah Alam di sini, semalam.:

:Ketiga-tiganya dilihat memasuki pekarangan balai berkenaan kira-kira jam 3.25 petang bagi membuat laporan meminta polis menyiasat dakwaan tersebut yang menuduh mereka terlibat dalam penyalahgunaan wang Kerajaan Negeri.

:Hian Wah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram Negeri berkata, tiga artikel yang disiarkan dalam laman blog terbabit, www.t4tbh.blogspot.com adalah palsu.

:“Berdasarkan ketiga-tiga artikel itu, saya percaya ia merupakan cubaan untuk mengelirukan orang ramai selain mengaitkan kematian Teoh Beng Hock dengan tekanan yang diberi oleh saya dan Ronnie untuk memaksanya menjalankan aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang.

:“Dakwaan itu adalah tidak benar kerana dia (Beng Hock) tidak pernah bekerja di bawah Ronnie, malah tidak terlibat dalam hal ehwal peruntukan DUN Su�ngai Pelek,” katanya.

:Menurutnya, artikel berkenaan turut menuduh DAP ‘mencuri’ wang rakyat di Selangor dan menipu komponen parti di dalam Pakatan Rakyat (PR) dan dianggap sebagai satu tuduhan palsu bertujuan memecahbelahkan kerjasama DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas di Selangor.:

:“Kita juga mendapat maklumat bahawa ada pihak tertentu sedang merancang satu komplot untuk menjatuhkan PR di Selangor dan sanggup berbuat apa-apa sahaja termasuk menggunakan jentera-jentera kerajaan bagi mencapai matlamat mereka,” katanya yang mengetahui kewujudan blog terbabit tiga hari lalu.:

:Laman blog sama mendedahkan dokumen yang mengandungi 83 projek di Sungai Pelek, Sepang diberikan kepada Chuan How dan kawasan DUN itu adalah di bawah seliaan Ronnie .

:Sementara Ronnie berkata, walaupun sebelum ini pernah menyatakan tidak akan membuat sebarang laporan polis namun beliau akur selepas mendapat nasihat daripada pimpinan tertinggi DAP.

:“Atas nasihat yang diberikan, saya bersama pembantu khas membuat laporan polis agar musuh politik tidak mengambil kesempatan memutar belit kata-kata saya termasuk menuduh saya menyembunyikan sesuatu kerana tidak berani berdepan dengan pihak polis,” katanya.

:Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar ketika dihubungi mengesahkan menerima dua laporan polis yang dibuat oleh ketiga-tiga mereka akan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Rabu, 22 Julai 2009

Suruhanjaya Diraja patut siasat punca kematian: Majlis Peguam ( Berita Harian)

KUALA LUMPUR: Majlis Peguam berharap penubuhan Suruhanjaya Diraja yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini akan turut menyiasat punca kematian setiausaha politik seorang Exco Selangor, Teoh Beng Hock.

Presidennya, Ragunath Kesavan, berkata ini adalah kerana kuasa sesebuah inkues bagi menentukan punca kematian adalah terhad berbanding kuasa Suruhanjaya Diraja.

"Selain itu, inkues dikendalikan oleh seorang majistret yang bertindak sebagai koroner dan beliau biasanya adalah seorang pegawai yang paling junior.

"Koroner tidak boleh mengarahkan supaya siasatan dijalankan bagi menentukan punca kematian," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Najib mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi meneliti prosedur soal siasat yang diguna pakai oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Di samping itu, beliau juga mengarahkan supaya satu inkues yang diketuai seorang majistret diimulakan minggu depan bagi menentukan punca sebenar kematian Teoh.

Teoh, 30, ditemui mati pada jam 1.30 tengah hari Khamis lepas di koridor luar tingkat lima bangunan Plaza Masalam di Shah Alam yang turut menempatkan pejabat SPRM Selangor di Tingkat 14. Teoh yang juga setiausaha politik kepada Ean Yong Hian Wah, Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan, adalah seorang daripada saksi dalam siasatan SPRM berhubung dakwaan penyalahgunaan peruntukan negeri baru-baru ini.

Sementara itu, Pesuruhjaya Suhakam, Datuk Dr Michael Yeoh, menyambut baik penubuhan suruhanjaya itu dalam menentukan kaedah soal siasat yang dijalankan oleh SPRM itu menepati standard hak asasi manusia.

Katanya, hasil siasatan serta cadangan suruhanjaya itu nanti diharap dapat diguna pakai oleh SPRM dalam prosedur siasatannya pada masa depan. - Bernama

SPRM terima keputusan tubuh inkues, Suruhanjaya Diraja ( Berita Harian, Mutakhir)


PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menerima keputusan Jemaah Menteri berhubung inkues awam dan penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi mengkaji peraturan soal siasat yang digunakan suruhanjaya itu, termasuk semasa menyoal siasat setiausaha politik Exco kerajaan Selangor, Teoh Beng Hock.

SPRM, dalam kenyataannya petang ini, berkata ia berharap dengan adanya inkues awam dan penubuhan Suruhanjaya Diraja itu kebenaran dalam isu yang dibangkitkan orang ramai akan terbukti akhirnya.

"SPRM juga berharap agar tidak akan timbul lagi manipulasi, spekulasi dan dakwaan mana-mana pihak terhadapnya sehingga satu keputusan dibuat oleh kedua-dua badan berkenaan.

"Keputusan yang dibuat kedua-dua pihak berkenaan kelak hendaklah diterima baik oleh semua pihak yang terbabit," kata kenyataan itu yang dikeluarkan Ibu Pejabat SPRM di sini. - Bernama

40 saksi dipanggil bantu siasat kematian Teoh (Berita Harian)

Oleh Rafidah Mat Ruzki dan Suhana Roslan
bhnews@bharian.com.my


MOHD Amirul hadir untuk merakam kenyataan Manoharan (kanan) di pejabat Yong, di Bangunan SUK Shah Alam, semalam.

Rakaman keterangan 25 pegawai SPRM, dua Adun ke Kabinet

PETALING JAYA: Seramai 40 orang awam akan dipanggil polis untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock, Khamis lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata mereka akan dipanggil dalam masa terdekat ini bagi memastikan siasatan yang dijalankan dapat menyelesaikan misteri kematian Teoh.

Beliau berkata, sekiranya masih wujud persoalan yang belum dijawab selepas semua saksi terbabit memberi keterangan, pihak polis akan mencari pendekatan lain dalam siasatannya.

"Saya juga sedih atas apa yang berlaku kepada mendiang serta ahli keluarganya dan kita serahkan kepada polis menjalankan siasatan.

"Jika sebelum ini siasatan hanya membabitkan individu yang berada dalam bangunan dan bilik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tetapi kini orang awam juga akan diambil keterangan mereka," katanya pada majlis perasmian Balai Polis Ara Damansara di sini, semalam. Hadir sama Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Teoh, 30, ditemui mati di koridor luar Tingkat 5 bangunan Plaza Masalam di Shah Alam, yang turut menempatkan pejabat SPRM Selangor di Tingkat 14, pada jam 1.30 tengah hari, Khamis lalu.

Teoh yang juga Setiausaha Politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Perumahan dan Penyelesaian Kilang Haram Selangor, Ean Yong Hian Wah, adalah seorang daripada saksi dalam siasatan SPRM berhubung dakwaan penyalahgunaan peruntukan negeri, baru-baru ini.

Hishammuddin berkata, hasil rakaman keterangan 33 individu termasuk 25 pegawai SPRM serta Yong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Kembangan dan Adun Kota Alam Shah, M Manoharan akan dilaporkan kepada Kabinet, hari ini.

Beliau juga memberi jaminan polis akan melaksanakan tugas mereka dengan menyiasat kes itu sehingga akar umbi tanpa memilih bulu.

Sementara itu, polis merakamkan kenyataan Manoharan berhubung kejadian itu di pejabat Yong di Shah Alam, semalam. Pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Asisten Superintendan Mohd Amirul Abdullah dilihat tiba di pejabat Yong, jam 3.45 petang, setengah jam selepas ketibaan Manoharan.

Bagaimanapun, hanya Manoharan dirakamkan kenyataannya, manakala Yong meminta kenyataannya dirakam hari ini kerana sudah lewat. Polis mahu merakamkan kenyataan kedua-dua Adun itu mengikut Seksyen 112 Kanun Acara Jenayah kerana mereka adalah dua individu terakhir menghubungi Teoh sebelum dan ketika bekas wartawan itu disoal siasat SPRM .

Mohd Amirul mula merakam kenyataan daripada Manoharan pada jam 3.45 petang dan selesai jam 7 malam.

Manoharan berkata, beliau disoal mengenai panggilan telefon terakhir Teoh kepadanya antara jam 6 petang hingga 6.15 petang, 15 Julai lalu, sehari sebelum kematian Teoh.

"Teoh menghubungi saya memaklumkan beliau sudah tiba dan bertanya di mana saya berada," katanya.

Selasa, 21 Julai 2009

Terlalu banyak andaian, komen ganggu siasatan ( Berita Harian )


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta semua pihak berhenti menuding jari kepada agensi itu sebagai punca kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock kerana siasatan kejadian itu masih dijalankan.

Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, berkata sejak insiden itu dilaporkan, banyak pihak mengeluarkan pelbagai kenyataan dan komen hingga menimbulkan spekulasi dan mengganggu siasatan yang dijalankan.

"Biarlah polis siasat dan selesaikan dulu kes ini. Janganlah keruhkan keadaan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini semalam.

Teoh, 30, ditemui mati di koridor luar tingkat lima bangunan Plaza Masalam di Shah Alam, yang turut menempatkan pejabat SPRM Selangor di Tingkat 14, pada jam 1.30 petang, Khamis lalu.

Teoh, yang juga setiausaha politik kepada Ean Yong Hian Wah, adalah seorang daripada saksi dalam siasatan SPRM berhubung dakwaan penyalahgunaan peruntukan negeri baru-baru ini.

Ahmad Said berkata, kes penyalahgunaan peruntukan negeri yang disiasat SPRM itu hanyalah kes biasa dan bukannya kes besar sehingga boleh menimbulkan kematian.

"Bukan kerja kami hendak siasat sampai buat (kematian) macam itu sekali... kes biasa saja," katanya.

Ahmad Said berkata, laporan sesetengah media didapati cuba mengeruhkan keadaan dan mewujudkan perselisihan faham dan tanggapan SPRM punca kematian Teoh.

"Jangan cuba wujudkan perselisihan faham dan sensitiviti kaum... saya pun secara peribadi hendak tahu juga apa yang berlaku sebenarnya," katanya.

Ahmad Said berkata, SPRM turut bersimpati dengan keluarga mangsa berikutan insiden itu.

2 Adun dipanggil ( Berita Harian )


Oleh Rafidah Mat Ruzki
fidahruzki@bharian.com.my


KETUA Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dikerumuni wartawan untuk mendapatkan perkembangan terkini siasatan polis mengenai kematian Teoh Beng Hock, selepas beliau selesai mendengar taklimat mengenai kes itu yang disampaikan pegawai kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam, semalam. Turut kelihatan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar.

Yong, Manoharan antara individu terakhir dipercayai menghubungi Teoh

SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah dan Adun Kota Alam Shah, M Manoharan serta Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPK), Tan Boon Wah, adalah antara individu yang akan dipanggil polis bagi membantu siasatan berhubung kematian Teoh Beng Hock.

Yong yang juga Ahli Exco Selangor dan Manoharan adalah antara individu terakhir berhubung dengan Teoh sebelum mendiang disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Plaza Masalam di sini, Rabu lalu, manakala Tan dipanggil berkaitan laporan polis yang dibuatnya terhadap SPRM.

Bercakap pada sidang akhbar di sini, semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata polis juga akan memanggil dua orang yang disoal siasat SPRM pada hari sama dengan Tan dan Teoh.

Tan juga mengakui beliau terserempak dengan Teoh, 30, di pantri pejabat SPRM, kira-kira jam 6 pagi, Khamis lalu, beberapa jam sebelum mangsa ditemui mati di koridor Tingkat Lima, Plaza Masalam, yang menempatkan pejabat SPRM Selangor.

"Dia (Teoh) nampak letih, tetapi kami tidak bertegur sapa ketika berselisih," kata Tan ketika dihubungi Berita Harian.

Khalid berkata, polis mahu merekodkan keterangan Tan kerana beliau membuat laporan polis terhadap SPRM, Sabtu lalu, tetapi enggan percakapannya dirakamkan.

"Kita akan gunakan Notis 111 Kanun Acara Jenayah jika Tan enggan merekodkan keterangan berhubung laporan polis yang dibuatnya. Jika tidak, polis akan ambil tindakan terhadapnya atas dakwaan membuat laporan palsu," katanya.

Dalam laporan polis itu, Tan mendakwa beliau didera termasuk dipaksa berdiri empat jam ketika disoal siasat di pejabat SPRM di Plaza Masalam pada 15 dan 16 Julai lalu.

Selain itu, Khalid berkata, polis juga akan memanggil rakan, ahli keluarga Teoh dan mana-mana individu berkaitan dengan siasatan kes itu.

Sehingga kini, polis sudah merakamkan keterangan 33 individu, termasuk 25 pegawai SPRM.

Kematian Teoh, yang juga Setiausaha Politik kepada Yong, menimbulkan pelbagai spekulasi kerana beliau adalah antara saksi penting bagi membantu siasatan SPRM berhubung kes salah guna peruntukan kerajaan negeri oleh beberapa wakil rakyat Selangor.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, yang sebelum itu mendengar taklimat siasatan kes itu daripada pegawai kanan polis kontinjen Selangor, berkata siasatan kes itu Teoh sudah 60 peratus siap.

"Kami masih menyiasat kes ini dan Insya-Allah kita akan selesaikannya secepat mungkin dan kita akan buat pengumuman," katanya.

Mengulas perkembangan siasatan kes itu, Khalid berkata, laporan bedah siasat mendapati Teoh mati antara empat hingga lima jam sebelum mayatnya ditemui pada jam 1.30 petang, Khamis lalu.

"Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pula menunjukkan mangsa memasuki bangunan itu kira-kira jam 5 petang 15 Julai, tetapi tidak keluar semula," katanya.

Mengenai pemeriksaan pasukan forensik di pejabat SPRM, petang kelmarin, Khalid berkata:

"Ia untuk meneruskan siasatan. Kita perhatikan tingkap di Tingkat 14 kerana kita menjumpai komponen tingkap itu di Tingkat Lima.

"Jadi kita nak tengok balik tingkap itu. Kita juga ada mengambil beberapa dokumen bagi membantu siasatan."

Beliau berkata, berdasarkan bukti yang ada, polis mengesyaki kejadian itu berlaku di Tingkat 14 bangunan berkenaan, yang menempatkan pejabat SPRM Selangor.

Khalid juga menafikan telefon bimbit mangsa hilang seperti dilaporkan, sebaliknya ia sudah diserahkan kepada polis oleh pegawai penyiasat SPRM pada hari kejadian.

Katanya, telefon bimbit itu sedang diperiksa dan polis akan menyiasat siapa orang terakhir menghubungi mangsa.

"Kita akan siasat segala-galanya dan jika ada kaitan dengan kegiatan kongsi gelap... kita akan siasat. Kita tengok semua aspek," katanya

Isnin, 20 Julai 2009

Kematian pembantu Exco dipolitikkan ( Berita Harian)

TANJUNG KARANG: Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock, yang ditemui terbaring di koridor luar tingkat 5, Plaza Masalam, Khamis lalu, sengaja dipolitikkan pemimpin pembangkang.

Katanya, mereka berbuat demikian untuk mengalih perhatian rakyat daripada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap beberapa Exco Selangor sebelum ini.

"Kematian Teoh Beng Hock pun dipolitikkan untuk mengalih pandangan (rakyat) daripada tindakan SPRM terhadap mereka," katanya ketika merasmikan penutupan Mesyuarat Perwakilan Umno bahagian Tanjung Karang di sini semalam.

Sementara itu, Ketua Umno bahagian Tanjung Karang, Datuk Noh Omar, berkata Umno bahagian itu turut bersimpati dan sedih atas kematian Teoh.

Bagaimanapun, katanya, isu kematian itu sepatutnya tidak dicampur-adukkan dengan urusan SPRM dan siasatan yang dijalankan suruhanjaya itu terhadap Exco yang sedang disiasat.

"Kita berharap supaya kematian Teoh ini disiasat oleh polis dengan telus dan adil.

"Umno Tanjung Karang tidak mahu kematian itu dipolitikkan dan apabila ada kejadian seperti ini, SPRM terpaksa menghentikan siasatan mereka," katanya.

Khamis lalu, Teoh ditemui mati di Plaza Masalam, di Shah Alam, selepas kira-kira lapan jam memberi keterangan sebagai saksi kepada SPRM berhubung siasatan salah guna peruntukan wang kerajaan negeri.

Mayat Teoh, 30, yang berkhidmat dengan Adun Seri Kembangan dan Pengerusi DAP Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui jam 1.30 tengah hari di koridor tingkat 5 bangunan yang menempatkan pejabat SPRM Selangor di tingkat 14.

Syor terma rujukan tugas panel penilai SPRM dikaji ( Berita Harian )

Oleh Norfatimah
Ahmadtim@bharian.com.my

Tugas menilai sepatutnya bermula apabila siasatan dibuka

KUALA LUMPUR: Panel Penilaian Operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengemukakan cadangan supaya terma rujukan tugasannya dikaji semula untuk membolehkannya menilai semua siasatan dilakukan suruhanjaya itu.

Pengerusinya, Tan Sri Dr Hadenan Abdul Jalil, berkata terma rujukan yang ada sekarang hanya memberi mereka kuasa penilaian selepas kertas siasatan kes yang disiasat sejak 1 Januari 2009 selesai dan diserahkan kepada Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM.

"Saya akan mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Lembaga Penasihat SPRM, Tun Hamid Omar untuk berbincang lebih lanjut berhubung perkara ini bagi membolehkan pindaan terhadap terma rujukan tugasan panel ini dilakukan.

"Perubahan ini penting kerana sebagai panel yang menilai operasi dua bahagian dalam SPRM iaitu Siasatan serta Perundangan dan Pendakwaan, seharusnya tugas kami bermula apabila kertas siasatan dibuka, bukannya selepas ia selesai.

"Bagaimanapun, cadangan ini tentunya memerlukan sedikit masa untuk diteliti sebelum keputusan mengenainya dibuat kerana ia dikemukakan untuk manfaat bahagian siasatan, terutama bagi mengelak sebarang persepsi negatif masyarakat terhadap suruhanjaya ini," katanya di sini, semalam.

Mengikut terma rujukan tugasnya, panel akan menilai kertas siasatan yang dibuka sejak 1 Januari 2009 dan tugas panel ini bermula sebaik kertas siasatan diserahkan kepada bahagian pendakwaan untuk penelitian lanjut.

Semua kes perlu dibentangkan kepada panel untuk menentukan bentuk tindakan yang perlu diambil sama ada pendakwaan, siasat lebih lanjut, tindakan tatatertib, lucut hak atau tiada kes.

Panel itu berhak mempertikaikan kelewatan sesuatu kes disiasat dan kelewatan bahagian pendakwaan menilai kes tertentu dengan kedua-dua bahagian perlu mengemukakan alasan untuk meyakinkan anggota panel itu.

Beliau mengulas tindakan pegawai SPRM menyoal siasat setiausaha politik seorang Exco Selangor berusia 30 tahun yang dipanggil memberi keterangan sebagai saksi hingga lewat malam dan berlarutan hingga awal pagi berikutnya.

Kes itu menimbulkan pelbagai spekulasi apabila Teoh Beng Hock ditemui mati di koridor tingkat 5, Plaza Masalam, Shah Alam yang turut menempatkan pejabat SPRM Selangor, Khamis lalu.

Pengerusi sebuah daripada lima panel penasihat SPRM, Tan Sri Ramon Navaratnam turut menggesa supaya dikaji semula prosedur soal siasat SPRM ekoran kematian Teoh.

Hadenan berkata, tugas untuk meneliti kertas siasatan juga penting terutama bagi menghasilkan kes yang kukuh, malah ia dapat membantu SPRM untuk memenuhi Bidang Keberhasilan Utama Negara (N-KRA) yang ditetapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam usaha membanteras jenayah rasuah pada semua peringkat.

Polis siasat pejabat SPRM ( Berita Harian)

Oleh Wan Jailani Razak, Norfatimah Ahmad dan Rafidah Mat Ruzki
bhnews@bharian.com.my


POLIS membawa beberapa dokumen dan komputer dari pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Plaza Masalam, Shah Alam, semalam.

Kumpul bukti kes kematian Setiausaha Politik Exco Selangor

SHAH ALAM: Polis semalam mengambil beberapa lagi bahan bukti termasuk dokumen dan perkakasan komputer dari pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Plaza Masalam di sini, bagi membantu merungkai misteri kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock.

SPRM pula menangguhkan sementara siasatan kes salah guna peruntukan membabitkan 12 Ahli Dewan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat Selangor supaya tidak mengganggu siasatan polis berhubung punca kematian Teoh.

Pengarah SPRM Selangor, Jaafar Mahad, berkata pihaknya sedia bekerjasama dan memberi apa saja maklumat untuk membantu polis menyelesaikan siasatan kes itu.

"Mulai jam 8.30 malam Jumaat lalu hingga jam 6.30 pagi hari berikutnya, 16 pegawai SPRM sudah dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dan pada Sabtu pula, mereka (polis) datang ke pejabat kami untuk mengambil dokumen berkaitan kes salah guna peruntukan wang Adun dan Exco yang disiasat," katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Teoh, 30, ditemui mati di koridor tingkat 5, Plaza Masalam, Khamis lalu, beberapa jam selepas disoal siasat SPRM bagi membantu siasatan kes salah guna peruntukan wakil rakyat dari Pakatan Rakyat.

POLIS meninjau dari tingkap pejabat SPRM di Plaza Masalam ke lokasi mayat Teoh ditemui.

Teoh, Setiausaha Politik Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Perumahan dan Penyelesaian Kilang Haram Selangor, Ean Yong Hian Wah, dipanggil ke Pejabat SPRM pada jam 5 petang, Rabu lalu dan disoal siasat sehingga jam 3.45 pagi keesokannya sebelum mayatnya ditemui seorang pencuci di plaza berkenaan pada 1.30 petang.

Kelmarin, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata polis belum mengetepikan teori kemungkinan ada perbuatan khianat di sebalik kematian Teoh, walaupun laporan awal bedah siasat menunjukkan mangsa mengalami pelbagai kecederaan akibat jatuh dari tempat tinggi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Omar Mamah, berkata pemeriksaan semula polis di plaza berkenaan mendapat kerjasama penuh SPRM.

Sambil tidak menolak kemungkinan polis akan melakukan lagi pemeriksaan selepas ini, beliau menjelaskan kunjungan pasukannya ke pejabat suruhanjaya itu semalam hanya sebagai lawatan semula dan bukan serbuan.

Kira-kira 10 hingga 15 pegawai makmal forensik Maktab Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras dan pasukan penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, melakukan siasatan hampir tiga jam di pejabat suruhanjaya itu di tingkat 14 plaza berkenaan, bermula kira-kira jam 5 petang semalam.

Selain Omar, Ketua Siasatan Jenayah Daerah Shah Alam, Deputi Superintendan Kamaruddin Ismail, turut dilihat memasuki plaza berkenaan.

Ahad, 19 Julai 2009

Syor badan khas siasat kematian Teoh diteliti ( Berita Harian)

Oleh Ridzuan Yop dan Shamsul Kamal Amarudin
bminggu@bharian.com.my


MUHYIDDIN menyampaikan anugerah Kategori Khas kepada Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Syed Jalaludin Syed Salim (kanan) sambil diperhatikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua dari kanan) dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pada majlis Sambutan Hari Koperasi Negara 2009 di Stadium Indera Mulia, Ipoh, semalam.

Kerajaan kaji pandangan daripada pelbagai pihak: TPM

IPOH: Kerajaan akan meneliti cadangan pelbagai pihak supaya ditubuhkan suruhanjaya siasatan bebas berhubung kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Kabinet akan membuat keputusan sama ada wajar atau tidak menubuhkan suruhanjaya itu bagi menyiasat kes kematian Teoh yang juga bekas wartawan sebuah akhbar berbahasa Cina.

"Kita akan bincang pada mesyuarat Kabinet akan datang...Perdana Menteri pun sekarang sedang berada di luar negara. Kita akan teliti pandangan ini daripada pelbagai pihak sama ada ia wajar atau sebaliknya.

"Perkara ini akan diputuskan Kabinet," katanya pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Koperasi Negara 2009 di Stadium Indera Mulia di sini semalam.

Kelmarin, pelbagai pihak termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin serta pemimpin politik pembangkang menggesa kerajaan menubuhkan satu suruhanjaya siasatan bebas bagi menyiasat kes kematian Teoh.

Teoh, 30, ditemui mati di koridor luar tingkat lima bangunan di Plaza Masalam di Shah Alam yang turut menempatkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Tingkat 14, tengah hari kelmarin.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, kajian mengenai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sedang dibuat oleh satu jawatankuasa khas dan ketika ini jawatankuasa itu masih pada peringkat penelitian undang-undang berkenaan.

"Sebenarnya Perdana Menteri sudah buat kenyataan bahawa perkara ini akan diteliti, dikaji dan ia sedang pun dibuat...tentu ada beberapa perkara yang akan dilakukan, cuma (yang pasti) ia tidak akan kekal dalam keadaan yang ada sekarang.

"Sama ada perkara itu membabitkan pengubahsuaian, penambahbaikan atau ditukar dengan akta lain, ia diteliti oleh jawatankuasa berkenaan," katanya.

Ditanya kemungkinan ISA dimansuhkan, katanya, beliau tidak boleh membuat andaian kerana ia masih dalam kajian dan penelitian jawatankuasa terbabit.

Kelmarin, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi mahu kerajaan mempertimbangkan untuk memansuhkan ISA dan digantikan dengan undang-undang lain yang membenarkan penahanan pencegahan dengan mempertahankan hak asasi rakyat.

Ditanya kenyataan Menteri Pengangkutan, Datuk Ong Tee Kiat, bahawa ada pihak yang cuba menggagalkan siasatan kes pembinaan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Muhyiddin berkata, beliau menyerahkan kepada budi bicara Ong untuk menguruskan perkara berkenaan.

Sabtu, 18 Julai 2009

Jangan buat kenyataan kelirukan masyarakat: PM ( Berita Harian)

Oleh Johari Ibrahim

Tunggu siasatan menyeluruh bagi pastikan punca kematian

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, polis akan menyiasat kematian Setiausaha Politik Ahli Exco Selangor, Teoh Beng Hock secara menyeluruh dan profesional bagi memastikan punca dan bagaimana kejadian itu berlaku.

Perdana Menteri turut meminta semua pihak tidak membuat kenyataan atau tuduhan yang boleh mengelirukan masyarakat dan berharap semua pihak bertenang serta bersabar sehingga selesai siasatan.

Beliau juga menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Teoh Beng Hock dan bakal isterinya, Soh Cher Wei.

"Saya amat sedih dan simpati kepada keluarga Teoh dan bakal isterinya apabila dimaklumkan mengenai kejadian," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di Madinah semalam.

Teoh, 30, ditemui mati di koridor luar tingkat lima bangunan di Plaza Masalam di Shah Alam yang turut menempatkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Tingkat 14, tengah hari semalam.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, meminta semua pihak diminta tidak membuat sebarang andaian dan bertindak keterlaluan mengikut emosi, sebaliknya membiarkan polis menyiasat.

Beliau berkata, kerajaan memberi jaminan kes akan disiasat secara telus, manakala polis bebas menyiasat sesiapa saja yang difikirkan perlu untuk menyelesaikannya.

Mengenai tindakan sesetengah pihak menyalahkan SPRM berikutan kejadian itu, Muhyiddin berkata: "Mereka mungkin terlalu emosional, sepatutnya bersikap rasional. Jangan awal-awal buat tohmahan atau menuduh pihak tertentu melakukan itu dan ini, ia akan menimbulkan salah faham dan buruk sangka.

"Saya fikir dalam kes sebegini berat, sepatutnya kita serah kepada polis untuk buat siasatan rapi. Eloklah kita tunggu hasilnya."

Berhubung perhimpunan yang dipercayai tanpa permit di plaza itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, mereka perlu mengikut peraturan dan mematuhi arahan polis.

"Kalau melanggar peraturan, jangan marah kalau polis bertindak," katanya.

Usah buat spekulasi: Musa ( Berita Harian)

KUALA LUMPUR: Polis memberi amaran kepada semua pihak supaya tidak mempolitikkan kes kematian Setiausaha Politik kepada Exco Selangor, Teoh Beng Hock atau cuba mencetuskan suasana tidak tenteram di kalangan orang awam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata polis memandang serius dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa yang mempolitikkan kematian beliau dan membuat pelbagai spekulasi mengenainya kerana kes itu masih dalam siasatan.

"Polis sedang tunggu laporan patologi (bedah siasat), jadi tunggulah hasil siasatan. Tolong jangan buat spekulasi atau mencipta khabar angin yang boleh menyebabkan suasana tidak tenteram di kalangan orang awam, kita tak mahu itu berlaku.

"Kita akan sentiasa pantau dan ambil tindakan jika mereka berbuat demikian," katanya kepada pemberita selepas melancarkan 'Pameran Lions Bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM)' di pusat beli-belah Berjaya Times Square di sini, semalam.

Beliau mengulas tindakan beberapa pihak mengadakan bantahan dan membuat spekulasi mengenai kematian Teoh serta rancangan kumpulan tertentu untuk mengadakan majlis menyalakan lilin memperingatinya di seluruh negara.

Teoh, 30, ditemui mati di Plaza Masalam, Shah Alam, kelmarin selepas kira-kira lapan jam memberi keterangan sebagai saksi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan salah guna peruntukan wang kerajaan negeri.

Mayat Teoh ditemui jam 1.30 tengah hari di koridor tingkat lima bangunan yang menempatkan pejabat SPRM Selangor, di Tingkat 14.

Musa memberi jaminan kes itu akan disiasat dengan adil dan teliti.

Katanya, kes itu masih diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) sehingga laporan bedah siasat dikeluarkan.

"Pakar patologi akan melakukan bedah siasat hari ini (semalam) dan kita akan tanya mereka kerana kita mahu tahu apakah pandangan mereka mengenai insiden ini," katanya.

Sementara itu, Timbalannya, Tan Sri Ismail Omar ketika ditemui pada majlis berasingan berkata, polis mungkin akan mendapat beberapa petunjuk dan perincian kes itu selepas bedah siasat selesai dibuat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang.

"Siasatan dibuat mengikut undang-undang dan prosedur yang ada bagi menentukan apakah sebenarnya berlaku," katanya ketika ditemui selepas menutup Seminar Penyiasatan Pemesongan Kimia anjuran bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah (DEA) Amerika Syarikat di Maktab PDRM di Cheras.

7 penyokong Pakatan Rakyat kena tahan ( Berita Harian)


SHAH ALAM: Polis menahan tujuh orang semalam selepas berlaku pergelutan antara polis dan penyokong Pakatan Rakyat di pekarangan Plaza Masalam, di sini, tempat di mana Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock, ditemui mati kelmarin.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata mereka yang ditahan termasuk Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam dan Exco kerajaan Selangor, Dr Xavier Jayakumar.

Bagaimanapun, katanya, mereka sudah dilepaskan petang semalam selepas percakapan direkodkan. Beliau turut menegaskan kes kematian Teoh masih diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Difahamkan, turut ditahan dalam kejadian itu ialah dua pembantu Dr Xavier iaitu Razak Ismail dan Tee Lai Ambelam, manakala yang lain ialah pembantu khas kepada Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Loh Boon Keat; pembantu khas Adun Batu Caves, Sharuddin Abu Bakar dan pembantu khas Adun Damansara Utama, Richard Yap.

Tinjauan di pekarangan Plaza Masalam semalam mendapati polis dengan 100 pegawai dan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) mula bersedia di kawasan itu sejak jam 9 pagi. Pasukan FRU hadir bersama tiga trak, tiga kenderaan dan satu trak penyembur air untuk mengawal keadaan.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat tiba kira-kira jam 10 pagi menyampaikan ucapan ringkas kepada orang ramai di situ sebelum memasuki bangunan. Turut bersama Anwar ialah pemimpin tinggi Pakatan Rakyat, termasuk pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Kira-kira 10 minit kemudian, anggota polis pencegah rusuhan mula bertindak meleraikan perhimpunan itu menyebabkan berlaku kekecohan.

Di GEORGETOWN, kira-kira 30 orang berhimpun tanpa permit selama 15 minit depan bangunan SPRM di sini, bagi mendesak badan itu menyiasat kes kematian Teoh. Bagaimanapun, tiada tangkapan berikutan mereka mematuhi arahan polis untuk bersurai.

Setiausaha Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) Pulau Pinang, pihak yang menganjurkan perhimpunan itu, Ng Weik Aik, berkata SPRM perlu bertanggungjawab dan memberi penjelasan berhubung kematian Teoh kerana ia berlaku selepas mangsa disoal siasat.

Jumaat, 17 Julai 2009

'Usah buat spekulasi' ( Berita Harian )

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, meminta semua pihak tidak membuat spekulasi berhubung kematian Teoh Beng Hock, Setiausaha Politik kepada Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, semalam.

Katanya, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut untuk mengetahui punca sebenar kematian Teoh.

“Saya harap jangan ada pihak membuat andaian, biar pihak berkuasa siasat semua aspek untuk mengetahui punca sebenar kejadian,” katanya mengulas mengenai Teoh yang mayatnya ditemui di koridor tingkat lima bangunan Plaza Masalam di Shah Alam.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Malam Anugerah Media Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) 2008 di sini, malam tadi.

Sementara itu di PUTRAJAYA, Timbalan Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abu Kassim Mohamed memberi jaminan akan memberi kerjasama kepada polis berhubung siasatan kematian Teoh.

Katanya, polis bebas menyoalsiasat mana-mana pegawainya bagi membantu siasatan.

Pembantu Exco Selangor ditemui mati ( Berita Harian )

Oleh Wan Jailani Razak, Magendran Rajagopal dan Rafidah Mat Ruzki
bhnews@bharian.com.my

Saksi SPRM baru lapan jam beri keterangan kes selewang wang negeri

SHAH ALAM: Setiausaha politik seorang Exco Selangor, Teoh Beng Hock, ditemui mati di Plaza Masalam, di sini semalam selepas kira-kira lapan jam memberi keterangan sebagai saksi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan salah guna peruntukan wang kerajaan negeri.

Mayat Teoh, 30, yang berkhidmat dengan Adun Seri Kembangan dan pengerusi DAP Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui jam 1.30 tengah hari di koridor tingkat lima bangunan yang menempatkan pejabat SPRM Selangor di tingkat 14.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mohd Shukri Abdull, berkata mangsa datang sebagai saksi kes itu kira-kira jam 5 petang kelmarin dan memberi keterangan sehingga jam 3.45 pagi semalam.

Beliau berkata, seorang pegawai SPRM ke tempat kejadian selepas mendengar jeritan seseorang mengenai penemuan mayat dan mengenali mangsa sebagai saksi yang memberi keterangan kelmarin.

"Beliau dibenar pulang sebaik selesai memberi keterangan dan berjanji datang hari ini (semalam) bersama beberapa lagi dokumen bagi membantu siasatan.

"Walaupun dibenar pulang, dia meminta kebenaran berehat di tempat duduk pejabat SPRM. Sehingga jam 6 pagi, beliau dilihat masih tidur di tempat duduk berkenaan. Selepas itu, beliau tidak lagi kelihatan sehingga ditemui mati," katanya pada sidang media.

Mohd Shukri berkata, SPRM tidak pasti sama ada mangsa mati akibat terjatuh atau terjun dari bangunan itu dan menambah mangsa memberi kerjasama baik sepanjang keterangannya direkodkan.

"Hanya seorang pegawai SPRM mengambil keterangan dan lapan jam yang diambil untuk berbuat demikian adalah perkara biasa bagi melengkapkan siasatan," katanya.

Kelmarin, SPRM menyerbu pejabat Ean Yong di tingkat 15 bangunan Sekretariat Negeri Selangor bagi mencari mencari dokumen berhubung cara peruntukan negeri dibelanjakan. Dalam serbuan jam 5 petang itu SPRM merampas sebuah komputer riba dan unit pemprosesan pusat (CPU) serta menahan Teoh untuk disoal.

Ean Yong adalah antara Adun Selangor yang disiasat berhubung aduan menyalahgunakan peruntukan negeri yang disalurkan menerusi Pejabat Daerah Petaling.



Dalam pada itu, beliau yang ditemui, berkata Teoh sepatutnya mendaftarkan perkahwinannya hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw mempertikaikan langkah yang diambil oleh SPRM bagi memastikan keselamatan mereka yang dipanggil memberi keterangan dan disoal siasat.

"Kejadian wajar disiasat secara terperinci oleh polis. Saya tidak mahu membuat sebarang andaian selagi siasatan terperinci punca kematian belum dilakukan," katanya.


"Sebagai bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), saya tahu tekanan yang dihadapi ketika ditahan dan setiap gerak geri mereka perlu sentiasa diawasi. Tidak semua orang mampu menghadapi tekanan psikologi disoal siasat," katanya.