Selasa, 21 Julai 2009

2 Adun dipanggil ( Berita Harian )


Oleh Rafidah Mat Ruzki
fidahruzki@bharian.com.my


KETUA Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dikerumuni wartawan untuk mendapatkan perkembangan terkini siasatan polis mengenai kematian Teoh Beng Hock, selepas beliau selesai mendengar taklimat mengenai kes itu yang disampaikan pegawai kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam, semalam. Turut kelihatan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar.

Yong, Manoharan antara individu terakhir dipercayai menghubungi Teoh

SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah dan Adun Kota Alam Shah, M Manoharan serta Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPK), Tan Boon Wah, adalah antara individu yang akan dipanggil polis bagi membantu siasatan berhubung kematian Teoh Beng Hock.

Yong yang juga Ahli Exco Selangor dan Manoharan adalah antara individu terakhir berhubung dengan Teoh sebelum mendiang disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Plaza Masalam di sini, Rabu lalu, manakala Tan dipanggil berkaitan laporan polis yang dibuatnya terhadap SPRM.

Bercakap pada sidang akhbar di sini, semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata polis juga akan memanggil dua orang yang disoal siasat SPRM pada hari sama dengan Tan dan Teoh.

Tan juga mengakui beliau terserempak dengan Teoh, 30, di pantri pejabat SPRM, kira-kira jam 6 pagi, Khamis lalu, beberapa jam sebelum mangsa ditemui mati di koridor Tingkat Lima, Plaza Masalam, yang menempatkan pejabat SPRM Selangor.

"Dia (Teoh) nampak letih, tetapi kami tidak bertegur sapa ketika berselisih," kata Tan ketika dihubungi Berita Harian.

Khalid berkata, polis mahu merekodkan keterangan Tan kerana beliau membuat laporan polis terhadap SPRM, Sabtu lalu, tetapi enggan percakapannya dirakamkan.

"Kita akan gunakan Notis 111 Kanun Acara Jenayah jika Tan enggan merekodkan keterangan berhubung laporan polis yang dibuatnya. Jika tidak, polis akan ambil tindakan terhadapnya atas dakwaan membuat laporan palsu," katanya.

Dalam laporan polis itu, Tan mendakwa beliau didera termasuk dipaksa berdiri empat jam ketika disoal siasat di pejabat SPRM di Plaza Masalam pada 15 dan 16 Julai lalu.

Selain itu, Khalid berkata, polis juga akan memanggil rakan, ahli keluarga Teoh dan mana-mana individu berkaitan dengan siasatan kes itu.

Sehingga kini, polis sudah merakamkan keterangan 33 individu, termasuk 25 pegawai SPRM.

Kematian Teoh, yang juga Setiausaha Politik kepada Yong, menimbulkan pelbagai spekulasi kerana beliau adalah antara saksi penting bagi membantu siasatan SPRM berhubung kes salah guna peruntukan kerajaan negeri oleh beberapa wakil rakyat Selangor.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, yang sebelum itu mendengar taklimat siasatan kes itu daripada pegawai kanan polis kontinjen Selangor, berkata siasatan kes itu Teoh sudah 60 peratus siap.

"Kami masih menyiasat kes ini dan Insya-Allah kita akan selesaikannya secepat mungkin dan kita akan buat pengumuman," katanya.

Mengulas perkembangan siasatan kes itu, Khalid berkata, laporan bedah siasat mendapati Teoh mati antara empat hingga lima jam sebelum mayatnya ditemui pada jam 1.30 petang, Khamis lalu.

"Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pula menunjukkan mangsa memasuki bangunan itu kira-kira jam 5 petang 15 Julai, tetapi tidak keluar semula," katanya.

Mengenai pemeriksaan pasukan forensik di pejabat SPRM, petang kelmarin, Khalid berkata:

"Ia untuk meneruskan siasatan. Kita perhatikan tingkap di Tingkat 14 kerana kita menjumpai komponen tingkap itu di Tingkat Lima.

"Jadi kita nak tengok balik tingkap itu. Kita juga ada mengambil beberapa dokumen bagi membantu siasatan."

Beliau berkata, berdasarkan bukti yang ada, polis mengesyaki kejadian itu berlaku di Tingkat 14 bangunan berkenaan, yang menempatkan pejabat SPRM Selangor.

Khalid juga menafikan telefon bimbit mangsa hilang seperti dilaporkan, sebaliknya ia sudah diserahkan kepada polis oleh pegawai penyiasat SPRM pada hari kejadian.

Katanya, telefon bimbit itu sedang diperiksa dan polis akan menyiasat siapa orang terakhir menghubungi mangsa.

"Kita akan siasat segala-galanya dan jika ada kaitan dengan kegiatan kongsi gelap... kita akan siasat. Kita tengok semua aspek," katanya

Tiada ulasan: