Jumaat, 17 Julai 2009

Pembantu Exco Selangor ditemui mati ( Berita Harian )

Oleh Wan Jailani Razak, Magendran Rajagopal dan Rafidah Mat Ruzki
bhnews@bharian.com.my

Saksi SPRM baru lapan jam beri keterangan kes selewang wang negeri

SHAH ALAM: Setiausaha politik seorang Exco Selangor, Teoh Beng Hock, ditemui mati di Plaza Masalam, di sini semalam selepas kira-kira lapan jam memberi keterangan sebagai saksi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan salah guna peruntukan wang kerajaan negeri.

Mayat Teoh, 30, yang berkhidmat dengan Adun Seri Kembangan dan pengerusi DAP Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui jam 1.30 tengah hari di koridor tingkat lima bangunan yang menempatkan pejabat SPRM Selangor di tingkat 14.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mohd Shukri Abdull, berkata mangsa datang sebagai saksi kes itu kira-kira jam 5 petang kelmarin dan memberi keterangan sehingga jam 3.45 pagi semalam.

Beliau berkata, seorang pegawai SPRM ke tempat kejadian selepas mendengar jeritan seseorang mengenai penemuan mayat dan mengenali mangsa sebagai saksi yang memberi keterangan kelmarin.

"Beliau dibenar pulang sebaik selesai memberi keterangan dan berjanji datang hari ini (semalam) bersama beberapa lagi dokumen bagi membantu siasatan.

"Walaupun dibenar pulang, dia meminta kebenaran berehat di tempat duduk pejabat SPRM. Sehingga jam 6 pagi, beliau dilihat masih tidur di tempat duduk berkenaan. Selepas itu, beliau tidak lagi kelihatan sehingga ditemui mati," katanya pada sidang media.

Mohd Shukri berkata, SPRM tidak pasti sama ada mangsa mati akibat terjatuh atau terjun dari bangunan itu dan menambah mangsa memberi kerjasama baik sepanjang keterangannya direkodkan.

"Hanya seorang pegawai SPRM mengambil keterangan dan lapan jam yang diambil untuk berbuat demikian adalah perkara biasa bagi melengkapkan siasatan," katanya.

Kelmarin, SPRM menyerbu pejabat Ean Yong di tingkat 15 bangunan Sekretariat Negeri Selangor bagi mencari mencari dokumen berhubung cara peruntukan negeri dibelanjakan. Dalam serbuan jam 5 petang itu SPRM merampas sebuah komputer riba dan unit pemprosesan pusat (CPU) serta menahan Teoh untuk disoal.

Ean Yong adalah antara Adun Selangor yang disiasat berhubung aduan menyalahgunakan peruntukan negeri yang disalurkan menerusi Pejabat Daerah Petaling.



Dalam pada itu, beliau yang ditemui, berkata Teoh sepatutnya mendaftarkan perkahwinannya hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw mempertikaikan langkah yang diambil oleh SPRM bagi memastikan keselamatan mereka yang dipanggil memberi keterangan dan disoal siasat.

"Kejadian wajar disiasat secara terperinci oleh polis. Saya tidak mahu membuat sebarang andaian selagi siasatan terperinci punca kematian belum dilakukan," katanya.


"Sebagai bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), saya tahu tekanan yang dihadapi ketika ditahan dan setiap gerak geri mereka perlu sentiasa diawasi. Tidak semua orang mampu menghadapi tekanan psikologi disoal siasat," katanya.

Tiada ulasan: