Jumaat, 17 Julai 2009

'Usah buat spekulasi' ( Berita Harian )

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, meminta semua pihak tidak membuat spekulasi berhubung kematian Teoh Beng Hock, Setiausaha Politik kepada Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, semalam.

Katanya, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut untuk mengetahui punca sebenar kematian Teoh.

“Saya harap jangan ada pihak membuat andaian, biar pihak berkuasa siasat semua aspek untuk mengetahui punca sebenar kejadian,” katanya mengulas mengenai Teoh yang mayatnya ditemui di koridor tingkat lima bangunan Plaza Masalam di Shah Alam.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Malam Anugerah Media Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) 2008 di sini, malam tadi.

Sementara itu di PUTRAJAYA, Timbalan Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abu Kassim Mohamed memberi jaminan akan memberi kerjasama kepada polis berhubung siasatan kematian Teoh.

Katanya, polis bebas menyoalsiasat mana-mana pegawainya bagi membantu siasatan.

Tiada ulasan: