Isnin, 20 Julai 2009

Kematian pembantu Exco dipolitikkan ( Berita Harian)

TANJUNG KARANG: Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock, yang ditemui terbaring di koridor luar tingkat 5, Plaza Masalam, Khamis lalu, sengaja dipolitikkan pemimpin pembangkang.

Katanya, mereka berbuat demikian untuk mengalih perhatian rakyat daripada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap beberapa Exco Selangor sebelum ini.

"Kematian Teoh Beng Hock pun dipolitikkan untuk mengalih pandangan (rakyat) daripada tindakan SPRM terhadap mereka," katanya ketika merasmikan penutupan Mesyuarat Perwakilan Umno bahagian Tanjung Karang di sini semalam.

Sementara itu, Ketua Umno bahagian Tanjung Karang, Datuk Noh Omar, berkata Umno bahagian itu turut bersimpati dan sedih atas kematian Teoh.

Bagaimanapun, katanya, isu kematian itu sepatutnya tidak dicampur-adukkan dengan urusan SPRM dan siasatan yang dijalankan suruhanjaya itu terhadap Exco yang sedang disiasat.

"Kita berharap supaya kematian Teoh ini disiasat oleh polis dengan telus dan adil.

"Umno Tanjung Karang tidak mahu kematian itu dipolitikkan dan apabila ada kejadian seperti ini, SPRM terpaksa menghentikan siasatan mereka," katanya.

Khamis lalu, Teoh ditemui mati di Plaza Masalam, di Shah Alam, selepas kira-kira lapan jam memberi keterangan sebagai saksi kepada SPRM berhubung siasatan salah guna peruntukan wang kerajaan negeri.

Mayat Teoh, 30, yang berkhidmat dengan Adun Seri Kembangan dan Pengerusi DAP Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui jam 1.30 tengah hari di koridor tingkat 5 bangunan yang menempatkan pejabat SPRM Selangor di tingkat 14.

Tiada ulasan: