Sabtu, 18 Julai 2009

7 penyokong Pakatan Rakyat kena tahan ( Berita Harian)


SHAH ALAM: Polis menahan tujuh orang semalam selepas berlaku pergelutan antara polis dan penyokong Pakatan Rakyat di pekarangan Plaza Masalam, di sini, tempat di mana Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock, ditemui mati kelmarin.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata mereka yang ditahan termasuk Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam dan Exco kerajaan Selangor, Dr Xavier Jayakumar.

Bagaimanapun, katanya, mereka sudah dilepaskan petang semalam selepas percakapan direkodkan. Beliau turut menegaskan kes kematian Teoh masih diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Difahamkan, turut ditahan dalam kejadian itu ialah dua pembantu Dr Xavier iaitu Razak Ismail dan Tee Lai Ambelam, manakala yang lain ialah pembantu khas kepada Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Loh Boon Keat; pembantu khas Adun Batu Caves, Sharuddin Abu Bakar dan pembantu khas Adun Damansara Utama, Richard Yap.

Tinjauan di pekarangan Plaza Masalam semalam mendapati polis dengan 100 pegawai dan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) mula bersedia di kawasan itu sejak jam 9 pagi. Pasukan FRU hadir bersama tiga trak, tiga kenderaan dan satu trak penyembur air untuk mengawal keadaan.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat tiba kira-kira jam 10 pagi menyampaikan ucapan ringkas kepada orang ramai di situ sebelum memasuki bangunan. Turut bersama Anwar ialah pemimpin tinggi Pakatan Rakyat, termasuk pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Kira-kira 10 minit kemudian, anggota polis pencegah rusuhan mula bertindak meleraikan perhimpunan itu menyebabkan berlaku kekecohan.

Di GEORGETOWN, kira-kira 30 orang berhimpun tanpa permit selama 15 minit depan bangunan SPRM di sini, bagi mendesak badan itu menyiasat kes kematian Teoh. Bagaimanapun, tiada tangkapan berikutan mereka mematuhi arahan polis untuk bersurai.

Setiausaha Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) Pulau Pinang, pihak yang menganjurkan perhimpunan itu, Ng Weik Aik, berkata SPRM perlu bertanggungjawab dan memberi penjelasan berhubung kematian Teoh kerana ia berlaku selepas mangsa disoal siasat.

Tiada ulasan: