Sabtu, 18 Julai 2009

Usah buat spekulasi: Musa ( Berita Harian)

KUALA LUMPUR: Polis memberi amaran kepada semua pihak supaya tidak mempolitikkan kes kematian Setiausaha Politik kepada Exco Selangor, Teoh Beng Hock atau cuba mencetuskan suasana tidak tenteram di kalangan orang awam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata polis memandang serius dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa yang mempolitikkan kematian beliau dan membuat pelbagai spekulasi mengenainya kerana kes itu masih dalam siasatan.

"Polis sedang tunggu laporan patologi (bedah siasat), jadi tunggulah hasil siasatan. Tolong jangan buat spekulasi atau mencipta khabar angin yang boleh menyebabkan suasana tidak tenteram di kalangan orang awam, kita tak mahu itu berlaku.

"Kita akan sentiasa pantau dan ambil tindakan jika mereka berbuat demikian," katanya kepada pemberita selepas melancarkan 'Pameran Lions Bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM)' di pusat beli-belah Berjaya Times Square di sini, semalam.

Beliau mengulas tindakan beberapa pihak mengadakan bantahan dan membuat spekulasi mengenai kematian Teoh serta rancangan kumpulan tertentu untuk mengadakan majlis menyalakan lilin memperingatinya di seluruh negara.

Teoh, 30, ditemui mati di Plaza Masalam, Shah Alam, kelmarin selepas kira-kira lapan jam memberi keterangan sebagai saksi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan salah guna peruntukan wang kerajaan negeri.

Mayat Teoh ditemui jam 1.30 tengah hari di koridor tingkat lima bangunan yang menempatkan pejabat SPRM Selangor, di Tingkat 14.

Musa memberi jaminan kes itu akan disiasat dengan adil dan teliti.

Katanya, kes itu masih diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) sehingga laporan bedah siasat dikeluarkan.

"Pakar patologi akan melakukan bedah siasat hari ini (semalam) dan kita akan tanya mereka kerana kita mahu tahu apakah pandangan mereka mengenai insiden ini," katanya.

Sementara itu, Timbalannya, Tan Sri Ismail Omar ketika ditemui pada majlis berasingan berkata, polis mungkin akan mendapat beberapa petunjuk dan perincian kes itu selepas bedah siasat selesai dibuat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang.

"Siasatan dibuat mengikut undang-undang dan prosedur yang ada bagi menentukan apakah sebenarnya berlaku," katanya ketika ditemui selepas menutup Seminar Penyiasatan Pemesongan Kimia anjuran bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah (DEA) Amerika Syarikat di Maktab PDRM di Cheras.

Tiada ulasan: