Isnin, 20 Julai 2009

Syor terma rujukan tugas panel penilai SPRM dikaji ( Berita Harian )

Oleh Norfatimah
Ahmadtim@bharian.com.my

Tugas menilai sepatutnya bermula apabila siasatan dibuka

KUALA LUMPUR: Panel Penilaian Operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengemukakan cadangan supaya terma rujukan tugasannya dikaji semula untuk membolehkannya menilai semua siasatan dilakukan suruhanjaya itu.

Pengerusinya, Tan Sri Dr Hadenan Abdul Jalil, berkata terma rujukan yang ada sekarang hanya memberi mereka kuasa penilaian selepas kertas siasatan kes yang disiasat sejak 1 Januari 2009 selesai dan diserahkan kepada Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM.

"Saya akan mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Lembaga Penasihat SPRM, Tun Hamid Omar untuk berbincang lebih lanjut berhubung perkara ini bagi membolehkan pindaan terhadap terma rujukan tugasan panel ini dilakukan.

"Perubahan ini penting kerana sebagai panel yang menilai operasi dua bahagian dalam SPRM iaitu Siasatan serta Perundangan dan Pendakwaan, seharusnya tugas kami bermula apabila kertas siasatan dibuka, bukannya selepas ia selesai.

"Bagaimanapun, cadangan ini tentunya memerlukan sedikit masa untuk diteliti sebelum keputusan mengenainya dibuat kerana ia dikemukakan untuk manfaat bahagian siasatan, terutama bagi mengelak sebarang persepsi negatif masyarakat terhadap suruhanjaya ini," katanya di sini, semalam.

Mengikut terma rujukan tugasnya, panel akan menilai kertas siasatan yang dibuka sejak 1 Januari 2009 dan tugas panel ini bermula sebaik kertas siasatan diserahkan kepada bahagian pendakwaan untuk penelitian lanjut.

Semua kes perlu dibentangkan kepada panel untuk menentukan bentuk tindakan yang perlu diambil sama ada pendakwaan, siasat lebih lanjut, tindakan tatatertib, lucut hak atau tiada kes.

Panel itu berhak mempertikaikan kelewatan sesuatu kes disiasat dan kelewatan bahagian pendakwaan menilai kes tertentu dengan kedua-dua bahagian perlu mengemukakan alasan untuk meyakinkan anggota panel itu.

Beliau mengulas tindakan pegawai SPRM menyoal siasat setiausaha politik seorang Exco Selangor berusia 30 tahun yang dipanggil memberi keterangan sebagai saksi hingga lewat malam dan berlarutan hingga awal pagi berikutnya.

Kes itu menimbulkan pelbagai spekulasi apabila Teoh Beng Hock ditemui mati di koridor tingkat 5, Plaza Masalam, Shah Alam yang turut menempatkan pejabat SPRM Selangor, Khamis lalu.

Pengerusi sebuah daripada lima panel penasihat SPRM, Tan Sri Ramon Navaratnam turut menggesa supaya dikaji semula prosedur soal siasat SPRM ekoran kematian Teoh.

Hadenan berkata, tugas untuk meneliti kertas siasatan juga penting terutama bagi menghasilkan kes yang kukuh, malah ia dapat membantu SPRM untuk memenuhi Bidang Keberhasilan Utama Negara (N-KRA) yang ditetapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam usaha membanteras jenayah rasuah pada semua peringkat.

Tiada ulasan: