Sabtu, 18 Julai 2009

Jangan buat kenyataan kelirukan masyarakat: PM ( Berita Harian)

Oleh Johari Ibrahim

Tunggu siasatan menyeluruh bagi pastikan punca kematian

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, polis akan menyiasat kematian Setiausaha Politik Ahli Exco Selangor, Teoh Beng Hock secara menyeluruh dan profesional bagi memastikan punca dan bagaimana kejadian itu berlaku.

Perdana Menteri turut meminta semua pihak tidak membuat kenyataan atau tuduhan yang boleh mengelirukan masyarakat dan berharap semua pihak bertenang serta bersabar sehingga selesai siasatan.

Beliau juga menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Teoh Beng Hock dan bakal isterinya, Soh Cher Wei.

"Saya amat sedih dan simpati kepada keluarga Teoh dan bakal isterinya apabila dimaklumkan mengenai kejadian," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di Madinah semalam.

Teoh, 30, ditemui mati di koridor luar tingkat lima bangunan di Plaza Masalam di Shah Alam yang turut menempatkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Tingkat 14, tengah hari semalam.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, meminta semua pihak diminta tidak membuat sebarang andaian dan bertindak keterlaluan mengikut emosi, sebaliknya membiarkan polis menyiasat.

Beliau berkata, kerajaan memberi jaminan kes akan disiasat secara telus, manakala polis bebas menyiasat sesiapa saja yang difikirkan perlu untuk menyelesaikannya.

Mengenai tindakan sesetengah pihak menyalahkan SPRM berikutan kejadian itu, Muhyiddin berkata: "Mereka mungkin terlalu emosional, sepatutnya bersikap rasional. Jangan awal-awal buat tohmahan atau menuduh pihak tertentu melakukan itu dan ini, ia akan menimbulkan salah faham dan buruk sangka.

"Saya fikir dalam kes sebegini berat, sepatutnya kita serah kepada polis untuk buat siasatan rapi. Eloklah kita tunggu hasilnya."

Berhubung perhimpunan yang dipercayai tanpa permit di plaza itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, mereka perlu mengikut peraturan dan mematuhi arahan polis.

"Kalau melanggar peraturan, jangan marah kalau polis bertindak," katanya.

Tiada ulasan: