Ahad, 19 Julai 2009

Syor badan khas siasat kematian Teoh diteliti ( Berita Harian)

Oleh Ridzuan Yop dan Shamsul Kamal Amarudin
bminggu@bharian.com.my


MUHYIDDIN menyampaikan anugerah Kategori Khas kepada Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Syed Jalaludin Syed Salim (kanan) sambil diperhatikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua dari kanan) dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pada majlis Sambutan Hari Koperasi Negara 2009 di Stadium Indera Mulia, Ipoh, semalam.

Kerajaan kaji pandangan daripada pelbagai pihak: TPM

IPOH: Kerajaan akan meneliti cadangan pelbagai pihak supaya ditubuhkan suruhanjaya siasatan bebas berhubung kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Kabinet akan membuat keputusan sama ada wajar atau tidak menubuhkan suruhanjaya itu bagi menyiasat kes kematian Teoh yang juga bekas wartawan sebuah akhbar berbahasa Cina.

"Kita akan bincang pada mesyuarat Kabinet akan datang...Perdana Menteri pun sekarang sedang berada di luar negara. Kita akan teliti pandangan ini daripada pelbagai pihak sama ada ia wajar atau sebaliknya.

"Perkara ini akan diputuskan Kabinet," katanya pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Koperasi Negara 2009 di Stadium Indera Mulia di sini semalam.

Kelmarin, pelbagai pihak termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin serta pemimpin politik pembangkang menggesa kerajaan menubuhkan satu suruhanjaya siasatan bebas bagi menyiasat kes kematian Teoh.

Teoh, 30, ditemui mati di koridor luar tingkat lima bangunan di Plaza Masalam di Shah Alam yang turut menempatkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Tingkat 14, tengah hari kelmarin.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, kajian mengenai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sedang dibuat oleh satu jawatankuasa khas dan ketika ini jawatankuasa itu masih pada peringkat penelitian undang-undang berkenaan.

"Sebenarnya Perdana Menteri sudah buat kenyataan bahawa perkara ini akan diteliti, dikaji dan ia sedang pun dibuat...tentu ada beberapa perkara yang akan dilakukan, cuma (yang pasti) ia tidak akan kekal dalam keadaan yang ada sekarang.

"Sama ada perkara itu membabitkan pengubahsuaian, penambahbaikan atau ditukar dengan akta lain, ia diteliti oleh jawatankuasa berkenaan," katanya.

Ditanya kemungkinan ISA dimansuhkan, katanya, beliau tidak boleh membuat andaian kerana ia masih dalam kajian dan penelitian jawatankuasa terbabit.

Kelmarin, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi mahu kerajaan mempertimbangkan untuk memansuhkan ISA dan digantikan dengan undang-undang lain yang membenarkan penahanan pencegahan dengan mempertahankan hak asasi rakyat.

Ditanya kenyataan Menteri Pengangkutan, Datuk Ong Tee Kiat, bahawa ada pihak yang cuba menggagalkan siasatan kes pembinaan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Muhyiddin berkata, beliau menyerahkan kepada budi bicara Ong untuk menguruskan perkara berkenaan.

Tiada ulasan: